Terima Kasih Paya Rumput, Tetap Di Hati – Rais
MELAKA, 24 Sept – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput susulan berakhirnya penggal DUN Melaka dan pembubaran DUN pada Rabu.
Rais yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka berkata, tempoh sepanjang melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat memberikan pelbagai pengalaman, kenangan serta kesempatan untuk bersama masyarakat dalam menyelesaikan pelbagai perkara.
Menurut beliau, setiap pertemuan, aduan, teguran, sokongan dan doa daripada masyarakat menjadi kekuatan untuk beliau terus melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Secara rasminya berakhir penggal Dewan Undangan Negeri Melaka dan pembubaran DUN pada 23 September 2026. Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga DUN Paya Rumput.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan ini, pelbagai pengalaman dan kenangan yang dirasai bersama. Setiap pertemuan, aduan, teguran, sokongan dan doa menjadi kekuatan untuk saya terus melaksanakan amanah sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta kepimpinan Kerajaan Negeri atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Katanya, menerusi semangat Melaka Sayang Rakyat, pelbagai usaha telah dilaksanakan bersama bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Paya Rumput terus diberikan perhatian.
“Walau mungkin ada kekurangan, namun saya percaya setiap usaha yang dilakukan lahir daripada keinginan yang sama iaitu demi melihat Paya Rumput terus maju dan rakyatnya mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Rais turut memohon maaf kepada seluruh warga Paya Rumput sekiranya sepanjang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat terdapat kekhilafan atau perkara yang tidak dapat ditunaikan seperti yang diharapkan.
Beliau menegaskan bahawa berakhirnya satu penggal bukan bermakna hubungan dan kasih sayangnya terhadap masyarakat Paya Rumput turut berakhir.
“Apa pun yang mendatang, hubungan dan kasih sayang kepada warga Paya Rumput tidak akan terhenti di sini. Banyak lagi yang boleh kita lakukan, banyak lagi yang perlu kita perjuangkan.
“Kita tutup satu lembaran dengan penuh kesyukuran dan membuka lembaran seterusnya dengan keyakinan, doa dan semangat yang baharu,” katanya.
Rais berkata, segala sokongan dan kepercayaan yang diberikan masyarakat sepanjang tempoh perkhidmatannya akan sentiasa dikenang dan menjadi sebahagian daripada perjalanan perjuangan beliau.
“Terima kasih, Paya Rumput. Paya Rumput tetap di hati saya,” katanya.- UMNO Online
