Perkara 42 Jelas, Kuasa Pengampunan Sebahagian Sistem Negara – Haslinda Salleh
KUALA LUMPUR, 21 Sept — Perkembangan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perlu melihat menyeluruh dan bukan semata-mata daripada sudut politik atau emosi.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor, Haslinda Salleh berkata, perkara itu wajar dinilai berdasarkan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan institusi Raja Berperlembagaan.
Menurut beliau, dalam sistem negara, proses kehakiman dan proses pengampunan mempunyai fungsi serta kedudukan masing-masing dalam kerangka perundangan.
“Dalam sistem negara kita, proses kehakiman dan proses pengampunan mempunyai fungsi masing-masing. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, termasuk kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum.
“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kuasa tersebut terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan dilaksanakan dalam kerangka Lembaga Pengampunan sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
“Justeru, proses pengampunan bukan sesuatu yang berada di luar sistem perundangan. Ia sendiri merupakan sebahagian daripada kerangka Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
Haslinda juga Exco Wanita UMNO Malaysia berkata, pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah juga bukan bermaksud kebebasan tanpa batas.
“Sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi, terdapat implikasi undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan dalam keputusan tersebut. Ia tetap suatu bentuk pelaksanaan hukuman yang tertakluk kepada syarat, kawalan dan ketetapan pihak berkuasa.
“Kita boleh menghormati keputusan mahkamah dan proses kehakiman, dan pada masa yang sama menghormati kuasa serta proses pengampunan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada sistem negara yang mesti kita junjung. Keadilan bukan hanya berbicara tentang hukuman.
“Dalam kerangka undang-undang yang sah, turut tersedia ruang untuk pengampunan, belas ihsan dan peluang meneruskan kehidupan dalam batas yang ditetapkan oleh undang-undang,” jelasnya.
Kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menzahirkan rasa syukur serta menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda berhubung pengampunan bersyarat.
“Dengan penuh rasa syukur dan menjunjung kasih, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda dalam perkara ini.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing melalui saluran perundangan serta perlembagaan yang ditetapkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, perkembangan berkenaan memberikan ruang kepada Najib Razak dan keluarganya untuk menikmati lebih banyak masa bersama, selain memperoleh ketenangan dan kekuatan dalam meneruskan kehidupan.
“Buat Najib Razak dan keluarga, semoga lembaran ini memberikan ruang untuk lebih banyak masa bersama keluarga, ketenangan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan, dengan terus mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan.
“Daripada tembok kepada keluarga,daripada ujian kepada sebuah harapan.Bukan kebebasan tanpa batas, tetapi sebuah lembaran baharu dalam batas undang-undang,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus menghormati institusi kehakiman, menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kita hormati mahkamah. Kita junjung Perlembagaan. Kita pertahankan kedaulatan undang-undang. Kita muliakan institusi Raja.
“Menjunjung kasih, Tuanku. Daulat Tuanku… masih ada harapan,” ujarnya. – UMNO Online
