Malaysia Biru Landasan Utama Tawaran BN – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengabsahkan bahawa agenda Malaysia Biru yang dibentangkan menerusi ucapan dasar beliau akan dijadikan sebagai landasan utama tawaran Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, agenda berkenaan bukan sekadar gagasan untuk ahli UMNO, sebaliknya akan menjadi antara elemen utama yang akan dibawa dalam penyediaan manifesto BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya ingin mengabsahkan bahawa agenda Malaysia Biru yang telah saya bentangkan dalam ucapan dasar itu kita jadikan sebagai landasan utama untuk kita tawarkan bukan hanya kepada ahli-ahli, tetapi kepada rakyat Malaysia.
“Malaysia Biru akan menjadi sandaran pelaksanaan dan untuk manifesto BN, kita akan masukkan perkara ini sebagai elemen utama,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemuktamadan agenda tersebut bagaimanapun akan dibuat selepas melalui proses perbincangan bersama kepimpinan parti-parti komponen BN serta Friends of BN.
“Ini akan menjadi manifesto rasmi setelah kita berbincang dengan kepimpinan rakan-rakan komponen dan Friends of BN.
“Proses berkenaan penting bagi memastikan manifesto yang bakal ditawarkan benar-benar mencerminkan kesepakatan serta hala tuju bersama seluruh gabungan.
“Kita akan mengabsahkannya setelah proses penyediaan manifesto dilakukan sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama kata Pengerusi BN itu, agenda Malaysia Biru tidak seharusnya dijadikan polemik oleh mana-mana pihak termasuk penganalisis kerana ia merupakan dasar serta tawaran yang jelas dibawa oleh BN kepada rakyat.
“Bagi saya… ia tidak harus dijadikan sebagai satu polemik di luar oleh mana-mana penganalisis kerana itu adalah dasar kami dan tawaran kami yang telah digariskan.
“Malaysia Biru merupakan gagasan besar yang lahir daripada idea serta hala tuju yang telah digariskan bagi memperkukuh tawaran BN kepada rakyat dan memastikan agenda tersebut dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan,” ujarnya. – UMNO Online.
