UMNO Tidak ‘Tebuk Atap’, Kekal Pertahan Kestabilan Kerajaan Perpaduan Hingga PRU

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) kekal mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, UMNO masih berpegang kepada Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak akan melakukan perubahan terhadap kerajaan.

“Dia (hubungan Kerajaan Perpaduan) tidak ‘retak menanti belah’. Kita masih lagi berpegang kepada Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Selagi mana kita belum sampai tempoh pilihan raya, kita tidak akan ‘menebuk atap’ ataupun mengubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar Perdana Menteri, itu maksud ‘tebuk atap’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebentar tadi.

Beliau berkata pendirian tersebut selaras dengan keutamaan UMNO untuk mempertahankan kestabilan politik, selain memastikan sebarang perubahan terhadap kerajaan ditentukan menerusi mandat rakyat.

“Kita memikirkan soal kestabilan politik yang kita pertahankan. Sebab itulah saya kira kita tidak akan timbul apa-apa masalah yang besar.

“Apa yang paling penting seperti saya katakan sebentar tadi, Presiden dan perwakilan pun telah memberikan indikasi bahawa biarlah rakyat yang membuat keputusan dan mandat itu diserahkan kepada rakyat,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, beliau berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana sebarang perundingan hanya akan bermula selepas pembubaran parlimen.

Ujarnya, pendekatan sama pernah berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan apabila rundingan hanya dimulakan selepas pembubaran diumumkan.

“Ia masih pramatang kerana perundingan belum pun bermula. Seperti yang disebutkan oleh Presiden, tunggulah apabila pembubaran berlaku. Barulah perundingan itu akan dimulakan.

“Perundingan tidak bermula sebelum pembubaran. Jadi untuk saya komen, saya rasa amat pramatang lagi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan perlu terus berpegang kepada perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian pembentukannya, termasuk keperluan untuk melibatkan semua parti yang membentuk kerajaan dalam proses rundingan dan konsultasi.

“Apabila kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan, maka rundingan dan konsultasi mesti dibuat dengan semua parti yang terlibat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, turut menolak dakwaan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) telah melakukan pengkhianatan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan perjanjian berkenaan terpakai sehingga pilihan raya.

“Perjanjian kita hanya terpakai sehingga pilihan raya. Apabila bubar sahaja, maknanya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Mereka berhak untuk memilih rakan dengan siapa mereka akan melakukan kerjasama politik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO