Perwakilan Seluruh Negara Bawa Semangat Juang Parti Ke PAU 2026

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Kehadiran para perwakilan dari seluruh negara ke sesi pendaftaran dilihat membawa semangat juang untuk kekal teguh menjulang panji perjuangan UMNO.

Tinjauan UMNO Online mendapati seawal jam 9.00 pagi, perkarangan Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) mula meriah dengan kehadiran perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari 191 bahagian seluruh negara.

Perwakilan daripada pelbagai bahagian juga mula memenuhi ruang pendaftaran, sekaligus memperlihatkan kesediaan akar umbi untuk mengikuti perjalanan PAU 2026 yang menjadi medan penting bagi membincangkan hala tuju parti.

Untuk rekod, seramai 6,401 perwakilan dijadualkan hadir bagi mewarnai perhimpunan besar parti keramat Melayu ini yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Daripada jumlah keseluruhan perwakilan, seramai 2,922 merupakan perwakilan UMNO induk, manakala Wanita UMNO seramai 1,163, Pemuda UMNO (1,171) dan Puteri UMNO (1,145).

Persiapan PAU 2026 turut disusun dengan pelbagai pengisian, termasuk program pra-PAU yang akan berlangsung pada 8 September.

Antara program pra-PAU yang dijadualkan pada 8 September ialah Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 anjuran Majlis Ulama UMNO dan Kongres Pendidikan Melayu 2.0 anjuran Biro Pendidikan.

Tirai PAU 2026 akan dimulakan dengan Perasmian Sayap pada 9 September oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum diteruskan dengan persidangan sayap pada 10 September.

Pada 11 dan 12 September pula, PAU akan diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, Ucapan Dasar Presiden UMNO oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbahasan usul dan ucapan penggulungan.

Dalam pada itu, PAU 2026 turut melibatkan perwakilan siswa dalam negara serta perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN).

Kemeriahan PAU 2026 turut bakal diserikan dengan kehadiran gerai korporat dan gerai jualan yang akan ditempatkan di Legar Putra, Aras 2, WTC. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO