Hentikan Politik Dendam, Ugutan… – Faiz Hashim

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim menyifatkan budaya politik dendam dan politik ugutan yang terus dimainkan sesetengah pihak perlu dihentikan segera.

Jelasnya, tindakan sedemikian seolah-olah seseorang itu sudah bersalah sebelum proses perbicaraan dan keputusan mahkamah dibuat. Ia bukan saja menimbulkan persoalan dari sudut keadilan, malah boleh mencetuskan persepsi negatif serta mencalarkan reputasi individu terbabit.

“Budaya politik dendam dan politik ugutan perlu dihentikan dalam negara pada hari ini. Belum lagi didapati bersalah, dah kena pakai baju oren dan bergari seolah-olah dah macam bersalah. Ternyata tindakan sebegini sekadar ingin mewujudkan persepsi negatif dan menjatuhkan reputasi, terutama kepada mereka yang tidak sehaluan dan menentang kerajaan.

“Mana-mana parti yang memerintah negara dan negeri perlu fokus pada pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan pada rakyat. Rakyat sudah muak dengan politik yang saling menyalahkan antara satu sama lain. Rakyat sedang bergelut dengan kelangsungan hidup dan bertahan dengan tekanan hidup yang mereka hadapi.

“Ini yang sepatutnya kerajaan perlu utamakan dan bantu. Permudahkan permasalahan hidup rakyat. Bukannya menunding jari mencari kesilapan kepimpinan kerajaan lama. Kalau kerajaan terdahulu tidak baik, yang jadi kerajaan pada masa sekarang buatlah yang lagi baik serta buatlah penambahbaikan, itu ukuran sebenar sebuah kerajaan,” katanya.

Tambah Faiz Hashim, rakyat tidak mahu dengar alasan setiap hari, rakyat mahu lihat hasil, mahu lihat ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah dan kehidupan mereka dipermudahkan.

Dalam pada itu, Faiz mengambil contoh pentadbiran Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu yang menurutnya lebih menumpukan kepada agenda pembangunan negeri berbanding terus terperangkap dalam politik menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Contohi Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Walaupun partinya menang semua kerusi di Terengganu, tak ada pun mereka menyalahkan pimpinan kerajaan negeri yang lama.

“Sebab itu rakyat Terengganu boleh bersatu hati. Beliau tidak banyak bercakap, tetapi tahu-tahu ada sahaja impak ekonomi dan pelaburan yang masuk ke Terengganu yang ternyata mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat Terengganu,” katanya lagi.

Menurut Faiz, pendekatan politik berasaskan prestasi perlu menjadi budaya baharu kerana rakyat hari ini semakin matang, celik maklumat dan mampu membuat penilaian sendiri terhadap prestasi sesebuah kerajaan.

“Cukup-cukuplah. Zaman sudah tidak sama lagi macam dulu. Generasi hari ini semuanya bijak pandai dan boleh menilai. Semua maklumat berada di hujung jari.

“Rakyat juga tidak jumud kepada mana-mana parti. Kalau buat baik dan rakyat merasai manfaat yang kerajaan lakukan, mereka akan kekalkan kerajaan yang ada. Tetapi kalau sebaliknya, rakyat sendiri akan mengubahnya apabila sampai masanya nanti,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO