SPU Terus Lahirkan Generasi Pemimpin Berilmu, Berprinsip

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Sekolah Politik UMNO (SPU) terus melahirkan generasi pemimpin berilmu dan berprinsip, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah berkesempatan untuk bersama-sama para peserta PSU batch ke-5 untuk sesi Daurah, pagi tadi.

“Memulakan pagi dengan solat Subuh berjemaah bersama anakanda-anakanda SPU Batch ke-5 sebelum kami meneruskan sesi Daurah bersama-sama.

“Alhamdulillah, pejam celik sudah lima batch SPU kita lahirkan. Sesi seperti inilah yang sentiasa saya nantikan untuk duduk dekat, bertukar cerita dan berkongsi kisah perjalanan mengemudi UMNO legasi sebuah perjuangan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap agar sesi pada pagi tadi menjadi garis panduan untuk mencorakkan masa depan politik negara.

“Saya berharap perkongsian mengenai ‘ikhlas’ pagi tadi dapat menjadi bekalan buat anakanda semua. Ambillah yang baik sebagai pedoman, belajarlah daripada setiap pesanan dan bina jati diri dengan ilmu, adab, keberanian serta prinsip yang teguh.

“Perjuangan ini memerlukan generasi yang bukan sekadar memahami sejarah tetapi berani mencorakkan masa depannya.

“Semoga daripada SPU ini terus lahir generasi pemimpin yang berilmu, berprinsip dan bersedia memikul amanah perjuangan pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO