Jangan Kompromi Wang Rakyat, Mohd Zaidy Sokong Pemulangan RM3.09 Juta
SEREMBAN, 27 Ogos – ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaïdy Abdul Kadir menyokong keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berhubung arahan pemulangan baki peruntukan berjumlah RM3.09 juta yang telah disalurkan kepada bekas Exco, ADUN serta Penyelaras DUN Pakatan Harapan di bawah pentadbiran terdahulu.
Menurut beliau, keputusan berkenaan bukan sahaja tepat dan wajar, malah mencerminkan ketegasan kerajaan negeri dalam mempertahankan prinsip akauntabiliti, integriti dan tatakelola kewangan awam.
“Pada pandangan saya, keputusan ini adalah tepat, wajar dan bertanggungjawab, khususnya apabila ia melibatkan wang rakyat serta prinsip tadbir urus kewangan kerajaan.
“Setiap sen wang kerajaan adalah amanah rakyat. Tidak kira siapa yang memerintah atau daripada parti mana sekalipun, pengurusan dana awam mesti tertakluk kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan peraturan kewangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah dibubarkan pada 5 Jun 2026, justeru setiap peruntukan yang melibatkan tempoh selepas pembubaran DUN sewajarnya diperhalusi dan dipastikan penggunaannya benar-benar mempunyai asas serta tujuan yang sah.
Mohd Zaïdy berkata, keputusan MMK itu membawa mesej yang jelas bahawa kerajaan negeri tidak boleh berkompromi dalam soal tatakelola dan pengurusan dana awam.
“Pertama, keputusan ini tepat demi menjaga tatakelola kerajaan. Kedua, ia menyelamatkan dana awam daripada risiko disalahgunakan.
“Arahan supaya baki peruntukan RM3.09 juta dikembalikan merupakan langkah penting bagi memastikan wang tersebut kekal sebagai dana awam dan dapat disalurkan semula melalui saluran yang betul untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Tegasnya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik kepartian atau sebagai tindakan membalas mana-mana pihak, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan prinsip amanah dan tanggungjawab terhadap wang rakyat.
“Ini bukan soal politik kepartian atau tindakan membalas mana-mana pihak. Ini soal amanah, integriti dan tanggungjawab terhadap wang rakyat.
“Saya percaya rakyat mahu sebuah kerajaan yang berani membuat keputusan apabila melibatkan kepentingan awam. Wang rakyat mesti dijaga, diurus dengan berhemah dan dibelanjakan untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan teguh terhadap usaha Menteri Besar dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sistem pentadbiran yang telus, cekap serta berintegriti.
Mohd Zaïdy turut mengingatkan bahawa jumlah RM3.09 juta bukan angka kecil, malah setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan perlu dapat dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“RM3.09 juta bukan jumlah yang kecil. Setiap ringgit adalah milik rakyat dan wajib dipertanggungjawabkan.
“Insya-Allah, kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memaklumkan keputusan MMK iaitu seramai 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.– UMNO Online
