PRN Melaka: Kerjasama Politik Perlu Ambil Kira Sentimen Tempatan
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan supaya sebarang keputusan mengenai strategi dan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengambil kira sentimen tempatan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ini bagi memastikan gabungan berkenaan tidak mengambil pendekatan politik yang tidak sesuai dengan realiti memandangkan sentimen di Melaka agak berbeza berbanding di Johor dan Negeri Sembilan.
Ini kerana, katanya, keputusan mengenai sebarang kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka akan ditentukan kepemimpinan BN negeri, sebelum dimuktamadkan BN Pusat.
“Sentimen akar umbi (mengenai kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka) bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci.
“Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup, ikan sepat tinggal tulang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi ‘isyarat’ supaya BN memilih kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding Perikatan Harapan (PH).
Dr Muhamad Akmal menegaskan pemilihan kerjasama BN dengan PN bersandarkan kepada hujah kedua-dua parti terbesar Melayu perlu dijalinkan demi penyatuan kaum.
Khamis lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, mengesahkan jajaran politik bagi menghadapi PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Selain itu, Ahmad Zahid mengajak orang ramai meletakkan kepercayaan kepada gelombang biru untuk menerajui pentadbiran negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini selari aspirasi yang meletakkan asas pembentukan kepemimpinan negara berlandaskan kepada kepercayaan.
“Tanggungjawab kita kini adalah untuk menterjemahkan kepercayaan kepada perkongsian lebih kukuh — kepercayaan kepada undi, kepercayaan kepada ‘gelombang biru’… gelombang baharu yang sedang berlaku di Malaysia, insya-Allah.
“Peluang yang lebih besar dan kemakmuran yang dikongsi bersama. Faham tak apa, tak faham tak apa,” katanya dalam nada berseloroh.
Yang turut hadir, Pengerusi Penaja WITEX 2026, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun dan Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Pada 1 Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, mandat dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan turut membawa gelombang untuk meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang sudah bermula di Johor.
Beliau antara lain memberi jaminan gelombang sama akan terus menular ke PRN Melaka.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, WITEX sebagai platform mengubungkan pasaran, mewujudkan peluang dan membentuk masa depan ekonomi pelancongan muslim global.
“Percayalah, fasa seterusnya bagi ekonomi pelancongan muslim tidak akan hanya ditentukan negara memiliki destinasi paling menarik.
“Sebaliknya, ia akan dibentuk pihak yang mampu membangunkan ekosistem paling kukuh dan menyeluruh untuk memenuhi keperluan pelancong. Persaingan sudah pun berubah.
“Pelancong kini membuat keputusan menyeluruh sebelum memutuskan destinasi pelancongan, termasuk membiat perbandingan di platform digital, membuat perbandingan dan semakin bergantung kepada kecerdasan buatan.
“Mereka juga mengharapkan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan peribadi, kelancaran dan akses mudah sepanjang percutian,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – BERITA HARIAN
