Onn Hafiz Junjung Kasih, Sanjung Visi Tunku Mahkota Johor Bangunkan JDT

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di atas kepimpinan dan visi dalam membangunkan Johor Darul Takzim (JDT).

Ujarnya, komitmen baginda tersebut telah membolehkan JDT muncul sebagai kelab bola sepak bertaraf dunia dan menjadi kebangaan Bangsa Johor.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepimpinan, visi dan komitmen yang tinggi dalam membangunkan JDT sehingga muncul sebagai sebuah kelab bola sepak bertaraf dunia serta menjadi kebanggaan seluruh Bangsa Johor.

“Syukur Alhamdulillah, musim lalu JDT telah menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga di laman sendiri tanpa kalah. Kini, Harimau Selatan berada di ambang mencipta satu lagi sejarah apabila berpeluang melakar rekod dunia baharu 109 perlawanan liga di laman sendiri tanpa kalah.

“Perlawanan menentang Kuching City FC dalam aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2026/27 yang turut menjadi perebutan Piala Sumbangsih membawa makna yang cukup istimewa. Bukan sahaja untuk memulakan musim dengan langkah kanan, tetapi juga membawa satu misi besar untuk mencipta sejarah baharu buat JDT,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh keluarga JDT di atas pencapaian yang amat memberangsangkan.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh keluarga JDT, barisan jurulatih dan para pemain atas pencapaian yang amat membanggakan serta mengharumkan nama Johor. Tidak dilupakan para penyokong setia Harimau Selatan yang sentiasa berdiri teguh sebagai pemain ke-12 pasukan.

“Ayuh Bangsa Johor, kita penuhkan Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat ini dan bersama-sama menjadi saksi terciptanya satu lagi detik bersejarah buat Johor. Semoga sejarah dunia sekali lagi tercipta di bumi Johor. Insya-Allah!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO