Malaysia-Türkiye Perkukuh Hubungan Ekonomi, Sasaran Dagangan Dua Hala
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Malaysia dan Türkiye terus memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan menerusi usaha meningkatkan nilai dagangan dua hala kepada sasaran USD10 bilion setahun.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia yang baharu, TYT Dr. Nevzat Uyanık.
Menurut beliau, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha menangani ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara secara konstruktif dan saling menguntungkan.

“Malaysia dan Türkiye mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama ekonomi, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, demi manfaat bersama,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama dalam industri halal.
Türkiye, katanya, turut menunjukkan minat untuk mempelajari pengalaman serta piawaian halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, peluang memperluas kerjasama dalam aspek keterjaminan tenaga turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.
Johari berkata, beberapa isu melibatkan urus niaga syarikat dari Türkiye dengan pihak di Malaysia turut dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan.
Beliau telah meminta supaya maklumat lengkap berkaitan perkara tersebut dikemukakan bagi membolehkan ia diteliti dan disusuli dengan pihak-pihak berkaitan.
Malaysia, katanya, komited untuk terus memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan industri dengan Türkiye, selaras dengan kepentingan ekonomi kedua-dua negara.
“Kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Türkiye akan membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” katanya. – UMNO Online
