Kita Perlu Adil Dalam Soal Akauntabiliti – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan bahawa semua pihak perlu berlaku adil apabila berbicara mengenai soal akauntabiliti.

Ini kerana katanya, saranan salah seorang perwakilan ketika Kongres PKR untuk menukar Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki perlu diteliti sebaiknya dengan menilai prestasi beliau.

“Saya mengambil maklum bahawa ada saranan dalam Kongres PKR yang meminta Perdana Menteri menilai semula kedudukan Dr Asyraf selaku Pengerusi MARA. Untuk pengetahuan semua, saya setuju dengan saranan yang cuba dibawa oleh perwakilan PKR ini.

“Kalau nak tukar atau berhentikan Dr Asyraf selaku Pengerusi MARA ini, saya setuju sekiranya memang terbukti ada kegagalan, KPI yang tidak tercapai, tadbir urus bermasalah, ada integriti tercalar ataupun ada teguran audit… atau ada salah laku yang dibuktikan. Jika ada, tukar. Tiada masalah. Kalau perlu, berhentikan. Tiada masalah.

“Sebab jawatan ini tidak kiralah di MARA ataupun mana-mana agensi, ia bukan hak milik kekal sesiapa ataupun mana-mana individu. Tetapi kalau kata kita nak bercakap soal akauntabiliti, kita kena adil. Jangan apabila kita tidak suka seseorang atau terganggu akibat kepentingan politik tertentu, kita bina persepsi seolah-olah sesiapa pun, termasuklah Dr Asyraf ini, dilihat gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman TikToknya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, segala usaha untuk memperkasa tadbir urus MARA perlu dinilai seadilnya sebelum sebarang keputusan dipersetujui.

“Segala rekod pun perlu kita nilai sebaik-baiknya. Di bawah kepimpinan Dr Asyraf, agenda pendidikan dan TVET MARA ini terus diperkasakan. Segala identiti ataupun entiti Institut Kemahiran MARA (IKM) yang berteraskan TVET telah pun dijenamakan semula dengan nama TVET MARA.

“Usaha untuk memperbaharui Akta MARA juga sedang giat digerakkan dan sudah mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penambahbaikan. Apa yang lebih penting, dilaporkan hampir 80 peratus Rang Undang-Undang (RUU) Akta MARA baharu telah memberi fokus sebenarnya kepada pemerkasaan struktur tadbir urus.

“Maknanya, ada usaha nak kuatkan semak dan imbang… nak tingkatkan akauntabiliti, kemaskan struktur demi memastikan institusi MARA itu bergerak dengan tadbir urus yang lebih kukuh,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penilaian perlu dilakukan berdasarkan prestasi, bukannya persepsi.

“Apa sebenarnya kegagalan Dr Asyraf ini? Kalau ada silalah, bentangkan. Tapi kalau seseorang itu cuba dijatuhkan hanya kerana mengganggu mana-mana percaturan politik pihak tertentu, itu bukan akauntabiliti, itu persepsi. Kalau prestasi ada, pembaharuan sedang dibuat dan institusi sedang diperkukuhkan… kita menutup mata hanya kerana ada pihak tertentu yang kurang selesa dengan peranan Dr Asyraf.

“Dari segi kesannya, kita tanya kepada keluarga MARA secara keseluruhan. Kita tanya kepada ekosistem anak-anak MARA. Mahu tak mereka ini tukar Pengerusi MARA? Adakah masalah dengan Pengerusi MARA? Kalau berani, tanyalah. Tanya rakyat, perlu atau tidak Dr Asyraf ini ditukarkan?

“Kita perlu membuat penilaian ke atas seseorang itu atas apa yang dia telah lakukan. Bukan atas siapa yang terganggu dengan apa yang beliau telah laksanakan. Akhir kata, MARA adalah amanah bangsa,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada Sabtu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mempertimbangkan untuk menggantikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan individu lain.

Wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris berkata, ini kerana pemimpin UMNO terbabit sedang terlibat dalam konflik berkaitan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO