Akta Baharu MARA 2026 Perkukuh Tadbir Urus – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggubal Akta Baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 telah mendapat kelulusan Majlis Jemaah Menteri dan dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen sebelum penghujung tahun ini.

Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta baharu itu memberi penekanan besar kepada aspek tadbir urus dengan kira-kira 80 peratus kandungannya tertumpu kepada usaha memperketat dan memperkemaskan sistem pentadbiran MARA.

“Alhamdulillah, RUU untuk menggubal Akta Baharu MARA 2026 telah diluluskan Majlis Jemaah Menteri untuk dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini. Sebanyak 80 peratus intipati akta ini adalah bagi mengetatkan dan memperkemaskan tadbir urus MARA,” katanya.

Menurut beliau, penggubalan akta tersebut bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses yang menyeluruh melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian-kementerian berkaitan.

“Draf cadangan pindaan dan penggubalan Akta MARA yang baharu ini sudah melalui pelbagai proses panjang dan mendapat maklum balas daripada pelbagai kumpulan pemegang taruh termasuk kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya.

Dr Asyraf berkata, antara fokus utama akta baharu itu ialah memperkukuh disiplin kewangan serta memastikan tadbir urus MARA memenuhi piawaian tadbir urus korporat antarabangsa.

“Antara intipati dan komponen penting draf cadangan Akta MARA yang baharu ini adalah untuk memastikan aspek tadbir urus dan disiplin kewangan MARA diperketatkan dan diperkemaskan sejajar dengan piawaian tadbir urus korporat antarabangsa.”

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi menutup ruang kepada sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah dan pemborosan yang boleh menjejaskan fungsi MARA sebagai institusi yang diamanahkan membangunkan pendidikan serta ekonomi Bumiputera.

“Ini bagi mengelakkan tiada ruang untuk sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan sama ada dalam bentuk salah guna kuasa, rasuah dan pemborosan yang boleh meruntuhkan institusi yang mempunyai mandat besar untuk membangunkan pendidikan dan ekonomi anak bangsa hanya kerana kelemahan tadbir urus,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO