Tahniah MB Johor Baharu, Jangan Ulangi Kesilapan PH Yang Banyak Kontroversi


JOHOR BAHRU, 15 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah atas pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal dan berharap agar beliau tidak mengambil pendekatan atau mengulangi kesilapan rakan dari parti beliau sebelum ini yang telah menimbulkan banyak kontroversi.

“Setinggi tahniah dan syabas kepada Dr. Sahruddin Jamal atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor ke-17. Saya harap beliau dapat menggalas amanah ini dengan baik dan penuh bertanggungjawab.

“Lebih penting, saya harap beliau tidak mengambil pendekatan dan mengulangi kesilapan rakan dari parti beliau sebelum ini yang telah menimbulkan banyak kontroversi sehingga membawa kepada peletakan jawatannya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Johor berkata, sebagai rakyat Johor, sudah tentulah secara peribadi juga mahukan yang terbaik untuk negeri ini.

“Semoga kepimpinan beliau akan meletakkan kepentingan rakyat dan keperluan Johor sebagai keutamaan tertinggi.

“Akhir sekali, saya mendoakan agar segalanya dipermudah dan diberkati oleh Allah SWT. Tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya lagi.

Semalam, Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.