Lautan Manusia Di Angsamas, Mesej Awal Pengundi Rantau

REMBAU,12 April – Lautan manusia yang membanjiri Tapak Pasar Malam Angsamas malam tadi pada Ceramah Perdana Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memperlihatkan mesej awal pengundi di kawasan tersebut yang akan membuang undi esok.

Kehadiran pimpinan parti pembangkang khususnya calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan merancakkan program tersebut.

Pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai kaum yang memenuhi setiap inci dan ruang tapak pasar malam berkenaan menjadikan kawasan tersebut sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar dan melihat secara dekat ceramah pada saat-saat akhir kempen PRK DUN Rantau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad selaku Pengerusi Majlis menceriakan suasana sebagai ‘pemanas badan’.

Kemudiannya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mengambil tempat sebagai penceramah dengan memberikan suasana kepimpinan negara hari ini selepas diterajui kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang mengambil tempat sebagai penceramah selepas itu turut menarik tumpuan apabila menggunakan bahasa Tamil di penghujung ucapannya.

Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat kemudiannya mengambil tempat serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penceramah terakhir memberikan penerangan yang jelas kepada pengundi Rantau untuk membuat pilihan pada hari pembuangan undi esok.

Apa yang pasti suasana dan lautan manusia yang membanjiri ceramah tersebut menjadikan tempoh kempen yang berbaki beberapa jam sahaja lagi cukup menarik dan Tok Mat selaku calon BN PRK DUN Rantau insya Allah akan diberikan kepercayaan oleh pengundi untuk menjadi suara rakyat.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.