Najib Ucap Terima Kasih Kepada Pengundi, Petugas PRU14

KUALA LUMPUR, 9 Mei Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi dan petugas pilihan raya yang menunaikan tangggungjawab masing-masing pada pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini.

Ucapan serupa turut ditujukan perdana menteri kepada mereka yang bertugas menjaga keselamatan.

“Terima kasih kepada semua pengundi yang turun menunaikan tanggungjawab, petugas pilihan raya yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan penguat kuasa keselamatan yang memastikan proses (pengundian) berlangsung dalam keadaan aman,” kata Najib menerusi laman Twitter rasmi beliau.

Proses pengundian PRU14 bermula 8 pagi tadi di 8,253 pusat mengundi seluruh negara.

PRU14 melibatkan jumlah keseluruhan 14.9 juta pemilih berdaftar dalam menentukan kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi taruhan.

Pada hari penamaan calon, Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan menerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.