Nik Mohd Nadzri Dilantik Ketua Penerangan UMNO Sabah, Hargai Amanah Diberi

KOTA KINABALU, 18 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Sabah yang baharu, sebagai sebahagian daripada usaha parti untuk memperkukuh proses pembaharuan dan penambahbaikan struktur organisasi di negeri ini.

Dalam hal ini, Nik Mohd Nadzri menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti dan menekankan komitmennya untuk memikul tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan mesej dan maklumat parti sampai kepada rakyat dengan lebih berkesan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, pelantikan ini bukan sahaja satu tanggungjawab tetapi juga peluang untuk membawa wajah baru dalam kepimpinan UMNO Sabah, sambil terus menyokong proses pembaharuan dan penambahbaikan struktur parti.

“Dengan sokongan ahli dan seluruh warga UMNO Sabah, insya-Allah kita akan memastikan parti terus relevan dan dekat dengan rakyat.”

Ujarnya, pelantikan ini dianggap sebagai langkah strategik bagi memberikan nafas baru kepada UMNO Sabah, selaras dengan aspirasi pucuk pimpinan untuk menyemarakkan semangat ahli-ahli serta memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat setempat.

Nik Mohd Nadzri yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau memenangi DUN Liawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu dilantik menjadi ketua penerangan UMNO negeri menggantikan Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir.

Terdahulu, UMNO telah mengumumkan pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah baharu iaitu ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia.

Turut diumumkan pelantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Ketua UMNO Kalabakan, Samasuddin Yusop, sebagai Setiausaha. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO