Kurangkan Petak Parkir Bukan Solusi, Pengangkutan Awam Belum Komprehensif
KUALA LUMPUR, 8 Dis – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin menyifatkan cadangan agar projek perumahan berdekatan pengangkutan awam dikurangkan petak parkir belum sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong berkata ini kerana liputan dan kebolehpercayaan pengangkutan awam negara masih belum menyeluruh.
“Banyak kawasan, termasuk yang berada berhampiran stesen LRT/MRT, masih berdepan masalah first-mile dan last-mile connectivity, kekerapan bas yang rendah serta kekurangan kemudahan pejalan kaki yang selamat.
“Dalam keadaan ini, majoriti penghuni tetap memerlukan kereta untuk pergerakan harian, sama ada untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau membeli keperluan asas,” katanya berdasarkan dapatan kajiannya bagi pengajian Sarjana Polisi Awam yang bertajuk Performance of the Delivery of Affordable Housing in Malaysia: An Evaluation Formula.
Menurut Mohd Hafiz lagi, beberapa faktor kos perumahan yang lebih mendatangkan kesan seperti harga tanah, caj pembangunan, kos pembinaan dan tempoh kelulusan yang panjang adalah punca utama kenaikan harga rumah.
Katanya, pengurangan petak parkir tidak memberi impak ketara kepada pengurangan harga rumah, malah berpotensi mewujudkan masalah baharu seperti parkir di bahu jalan, kesesakan, konflik komuniti dan isu keselamatan.

“Corak pemilikan kenderaan di Malaysia masih tinggi dan terus meningkat setiap tahun. Tanpa reformasi menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam, permintaan terhadap parkir tidak akan menurun walaupun projek dibina berhampiran stesen transit.
“Ini akhirnya menekan penduduk dan pihak berkuasa tempatan apabila ruang awam dipenuhi kenderaan yang tidak mempunyai tempat parkir khas,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru tindakan yang lebih berkesan sebagai langkah untuk menurunkan harga rumah, antaranya kawalan dan pematauan harga bahan pembinaan.
“Ini jauh lebih penting dan menjadi punca kepada kenaikan harga rumah yang semakin kritikal daripada mencadangkan tapak parkir dikurangkan,” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pemaju perumahan dicadangkan supaya mengurangkan bilangan tempat letak kenderaan bagi projek baharu yang dibangunkan berhampiran dengan stesen pengangkutan awam.
Beliau berkata cadangan itu disampaikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandangkan syarat minimum satu atau dua petak parkir bagi setiap unit kediaman menjadi antara faktor peningkatan harga sesebuah kediaman. – UMNO Online
