Pelancaran Jentera BN Kunak Cetus Keyakinan Baharu – Dr Akmal

KUNAK, 17 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menzahirkan keyakinan tinggi bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Menurutnya, pelancaran jentera BN di DUN tersebut menunjukkan satu gelombang sokongan luar biasa daripada rakyat, khususnya terhadap calon BN, Anil Sandhu, yang bertanding dengan nombor calon lima (5).

“Pelancaran jentera di DUN Kunak dengan calon yang bernama Anil Sandhu dengan nombor lima (5) yang mewakili Barisan Nasional (BN).

“Pada pilihan raya lalu, BN pernah tewas dua kali bertanding di DUN Kunak tapi kali ini rakyat Kunak dilihat ‘luar biasa’. Rakyat yang turun pada pelancaran jentera BN ini begitu ramai dan yakin pada 29 November ini ada perubahan yang berlaku dan insya-Allah… BN akan merampas kembali DUN Kunak.

“BN bukan sekadar janji tetapi janji yang dibuat telah dilaksana. Di Kunak bukan saja kita mahu melahir Yang Berhormat’ tapi melahirkan ‘Yang Berkhidmat’,” katanya selepas merasmikan pelancaran jentera BN di perkarangan AS Kunak.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat, Calon BN DUN Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu serta penyokong dan rakyat Kunak.

Dr. Akmal turut menegaskan bahawa kebangkitan sokongan rakyat di Kunak adalah petanda jelas bahawa pengundi mahukan perubahan dan kepimpinan baharu yang lebih stabil serta berkesan.

“Jentera Pemuda UMNO di semua peringkat telah bersiap siaga untuk membantu memastikan kemenangan BN di kerusi tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka menyatakan harapan terhadap kebijaksanaan rakyat kini semakin tinggi, terutama dalam memilih pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi masyarakat.

“Saya mengharapkan DUN Kunak ini dengan harapan yang tinggi bahawa rakyat sudah sedar. Sekiranya hendak memilih pemimpin biarlah pemimpin yang benar-benar setia, yang tahu susah senang rakyat dibawah.

“Saya mohon kepada semua seluruh rakyat DUN Kunak dapat keluar mengundi dan jangan lupa mengundi calon nombor lima (5) BN,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah dan 25 November adalah hari mengundi awal.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO