Malaysia Terus Perkukuh Agenda Halal Global Melalui MIHAS@Shanghai 2025

SHANGHAI, 6 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan lawatan kerja beliau ke Shanghai dengan merasmikan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS)@Shanghai 2025 bersempena penganjuran China International Import Expo (CIIE) di National Exhibition and Convention Centre (NECC), Shanghai, Republik Rakyat China.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata penganjuran MIHAS@Shanghai ini merupakan edisi antarabangsa kedua selepas kejayaan MIHAS@Dubai 2024 sekaligus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia.

“Dengan nilai ekonomi halal global kini dianggarkan USD2.3 trilion dan dijangka mencecah USD10.5 trilion menjelang 2030, Malaysia kekal komited menerajui agenda halal berasaskan nilai, kualiti dan integriti.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut memainkan peranan penting dalam MIHAS@Shanghai melalui penyertaan 16 usahawan desa di bawah program Gate to Global (GTG) MARA serta bimbingan agensi wilayah seperti RISDA, FELCRA, KEJORA dan KEDA yang menampilkan pelbagai produk dalam sektor makanan dan minuman, kecantikan, kesihatan, gaya hidup dan produk halal, dengan nilai penyertaan RM600,000 dan unjuran potensi jualan RM150 juta.

“Antara pencapaian penting termasuk tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara usahawan Malaysia dan pengedar dari China bernilai lebih RM25 juta, melibatkan produk seperti sarang burung, makanan kesihatan, dan rempah perencah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara MATRADE dan CIIE Bureau dan juga antara MARA dan MATRADE yang menandatangani MoU strategik merangkumi 10 bidang utama, termasuk pengantarabangsaan produk Bumiputera, inovasi halal, dan promosi digital.

Katanya inisiatif ini merupakan pelengkap kepada Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (FTA 3.0) yang kini memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan digital, teknologi hijau dan daya tahan rantaian bekalan, sekaligus membuka ruang kerjasama halal yang lebih dinamik di rantau ini.

“Justeru, saya menyeru agar lebih banyak syarikat Malaysia, khususnya PKS dan usahawan luar bandar, untuk merebut peluang yang disediakan melalui MIHAS@Shanghai, bagi menembusi pasaran pengguna terbesar dunia dan memperkukuh jenama Malaysia sebagai rakan dagang yang berdaya saing dan berprinsip.

“Saya yakin, usaha KKDW, MARA dan MATRADE bukan sahaja dapat memperkukuh produk dan jenama halal Malaysia di pasaran global, tetapi juga mampu menarik pelaburan bernilai tinggi serta menjadi pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar selaras dengan visi Kerajaan MADANI dan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO