Gangguan Air: 292,158 Akaun Di Johor Dapat Rebat 15% Bil Oktober
KOTA TINGGI, 5 Nov – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan rebat 15 peratus bagi bil air bulan Oktober 2025 sebagai langkah meringankan beban rakyat yang terjejas akibat gangguan bekalan air selama lima hari susulan insiden pencemaran kekeruhan di Lembangan Sungai Johor pada 31 Oktober lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kepada rakyat negeri ini yang sabar menghadapi dugaan tersebut.

“Kerajaan Negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut. Sebagai tanda penghargaan atas kesabaran rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan rebat 15 peratus bagi bil air bulan Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, rebat berkenaan akan diberikan kepada 292,158 akaun pengguna domestik dan bukan domestik, merangkumi rumah kediaman, rumah ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan di seluruh negeri.
Onn Hafiz menjelaskan bahawa walaupun bantuan itu mungkin tidak sepenuhnya menggantikan kesusahan yang dialami rakyat, ia diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas.
“Saya sedar bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kesusahan yang telah dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat dan memberikan kelegaan kepada mereka yang terkesan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden pencemaran tersebut dikenakan tindakan sewajarnya agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan, termasuk Ranhill SAJ, yang telah bekerja tanpa henti selama lima hari berturut-turut untuk memulihkan bekalan air kepada pengguna.
“Kerajaan Negeri menghargai usaha gigih petugas di lapangan yang berkorban masa dan tenaga bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan segera. Terima kasih juga kepada rakyat Johor yang menunjukkan tahap kesabaran, kerjasama dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam menghadapi situasi ini,” tambahnya.
Setakat jam 9.00 malam, 5 November 2025, semua akaun pengguna di negeri ini telah kembali menerima bekalan air seperti biasa selepas kerja-kerja pemulihan berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
Pasukan lapangan kini masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh di beberapa lokasi bagi memastikan kestabilan tekanan dan aliran bekalan air, di samping menangani isu airlock, tekanan rendah dan bekalan tidak stabil (intermittent supply) supaya bekalan yang diterima pengguna benar-benar stabil dan berkualiti tinggi.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sistem bekalan air negeri Johor bagi memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terjamin demi kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya lagi. – UMNO Online
