Ahmad Zahid Adakan Pertemuan Dengan MayCham Shanghai, Kukuhkan Hubungan Ekonomi Malaysia–China

SHANGHAI, 6 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengadakan pertemuan bersama kepimpinan dan ahli Malaysia–China Chamber of Commerce (MayCham) Shanghai dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China.

Pertemuan yang diadakan di Shanghai itu turut menekankan peranan penting MayCham Shanghai yang sejak penubuhannya pada tahun 2005 menjadi jambatan utama antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Menurut Ahmad Zahid, MayCham Shanghai telah banyak membantu syarikat Malaysia yang beroperasi di China serta menyokong usaha syarikat-syarikat China meneroka peluang pelaburan di Malaysia, khususnya dalam sektor halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi hijau, serta ekonomi digital.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli MayCham Shanghai di bawah penyeliaan Mr. Tan Hann Syn atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memupuk jaringan strategik dua hala.

“Semoga MayCham Shanghai terus menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti perniagaan Malaysia dan China berteraskan nilai, integriti dan manfaat bersama,” kata Ahmad Zahid.

Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke China bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO