Keselamatan Di Sekolah: Jalaluddin Soal Langkah KPM Tangani Isu Kesihatan Mental Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mempersoalkan langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangani isu kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, masalah kesihatan mental ini akan menjadi bom jangka kepada masalah disiplin pelajar terutamanya di sekolah.

“Yang Berhormat Menteri memberi penekanan kepada tekanan ataupun ‘mental disorder’ di kalangan pelajar-pelajar. Saya nak rujuk kepada Malaysian Youth Mental Health Index yang dibuat oleh UNICEF pada tahun 2023.
“Dalam laporan tersebut ada menyatakan bahawa hampir lima ke enam peratus di kalangan pelajar atau golongan muda sekarang ini, berusia 15 ke 40 tahun mengalami kemurungan yang melampau. Ini termasuk pelajar sekolah.
“Soalan saya, adakah pihak kementerian mengambil langkah masa hadapan untuk melibatkan psikiatri terlatih dan sebagainya bagi membantu guru-guru serta sistem pendidikan di sekolah kerana ini akan menjadikan bom jangka kepada masalah disiplin pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar syarikat pengendali keselamatan di sekolah yang didapati melakukan kesalahan ditamatkan perkhidmatan mereka dengan serta merta.
“Kedua, salah satu kes yang baru berlaku adalah amang seksual di Negeri Sembilan. Pelakunya telah ditangkap dan didakwa di mahkamah. Saya nak tanya kepada pihak kementerian, tindakan terhadap syarikat pengendali keselamatan ini?
“Kalau petugas mereka ditangkap dan terbukti melakukan kesalahan, maknanya syarikat pengendali ini harus ditamatkan serta merta. Mereka mesti mempunyai satu sistem atau disiplin di dalam mengendalikan syarikat keselamatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Saringan Minda Sihat dua kali setahun untuk mengenal pasti keadaan kesihatan mental para pelajar sekolah.

“Memang kita semua terkesan dengan isu kesihatan mental anak-anak murid kita. Saya ingin tegaskan bahawa sebab itu dalam jawapan saya sebentar tadi dalam ‘immediate reform’ ini, antara perkara yang perlu diberikan tumpuan oleh semua pihak, nombor satu adalah tentang kesihatan mental anak-anak.
“Ketika ini yang dilaksanakan dalam kapasiti kita adalah Saringan Minda Sihat untuk anak-anak kita, berlangsung dua kali setahun. Dari laporan tersebut, kita lihat jika ada sebarang tanda-tanda kemurungan yang memerlukan sokongan dan intervensi, maka mereka akan dirujuk kepada pihak lebih berautoriti termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan.
“Untuk soalan kedua, kami memandang serius isu tersebut dan ia dalam tindakan pada ketika ini. Kita akan ambil segala pandangan itu sebagai satu penegasan baharu dan penting dalam konteks melihat kepada keseluruhan keselamatan serta kesejahteraan warga pendidikan,” katanya. – UMNO Online
