Malaysia Perkukuh Peranan Dalam Pengurusan Bencana Serantau – Ahmad Zahid
PHNOM PENH, 15 Okt — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau menerusi pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan ASEAN.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) ke-14 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Menurut beliau, tahun 2025 amat signifikan kerana ASEAN memperingati ulang tahun ke-20 Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindakan Kecemasan (AADMER) iaitu satu kerangka penting yang telah membimbing usaha kolektif rantau ini dalam memperkukuh daya tahan bencana dan bantuan kemanusiaan selama dua dekad.

“AADMER mencerminkan komitmen bersama ASEAN bahawa tiada Negara Anggota akan berhadapan dengan bencana secara bersendirian,” tegasnya.
Katanya yang juga Presiden UMNO, sepanjang tempoh pelaksanaan perjanjian tersebut, ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas bencana kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam bidang pengurusan bencana, melalui pelbagai mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), DELSA, dan Rangkaian ASEAN-ERAT.
“Malaysia berbangga kerana telah memainkan peranan aktif dalam perjalanan bersama ini. Antaranya, Malaysia menjadi tuan rumah kepada gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan dan penugasan ASEAN-ERAT, serta terus memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR).
“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia kekal komited memperkukuh keupayaan kolektif serantau dalam pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan berpandukan prinsip ‘One ASEAN, One Response’.
“Tindakan pantas dan penyelarasan negara-negara ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER,” jelasnya.

Dalam menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Malaysia menyumbang secara one-off sebanyak USD100,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund).
“Sumbangan ini menzahirkan semangat solidariti Malaysia bersama semua Negara Anggota ASEAN serta tanggungjawab bersama memastikan mekanisme ASEAN, khususnya AHA Centre, terus diperkasa bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang cepat, berkesan dan berasaskan keperluan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa komitmen Malaysia ini mencerminkan agenda ketahanan kolektif ASEAN dan berharap semangat kerjasama itu akan mendorong negara-negara anggota serta rakan serantau untuk memperkukuh lagi Tabung ADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan ASEAN.
Ahmad Zahid turut menyuarakan visi Malaysia untuk melihat ASEAN muncul sebagai peneraju global dalam bidang ketahanan bencana menerusi pendekatan inovatif, inklusif dan berteraskan rakyat.
“Insya-Allah, ASEAN akan terus membina sistem yang mampu menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan, dan melindungi sumber kehidupan buat generasi akan datang,” katanya. – UMNO Online
