Kembalikan Hukuman Rotan, Demi Bentuk Disiplin Pelajar

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan semula kuasa merotan kepada guru, khususnya guru disiplin dan pentadbir sekolah.

Katanya langkah ini bukan bertujuan untuk menghukum secara semberono tetapi sebagai pendidikan berbentuk pengajaran dan pembentukan akhlak agar pelajar lebih berdisiplin dan menghormati peraturan sekolah.

“Mutakhir ini, isu disiplin dan sahsiah pelajar semakin membimbangkan. Pelbagai kes seperti kurang ajar terhadap guru, pergaduhan sesama pelajar, serta ketidakpatuhan terhadap peraturan sekolah semakin kerap dilaporkan. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa tahap rasa hormat dan disiplin dalam kalangan pelajar semakin merosot.

“Kuasa merotan yang dikawal selia dengan garis panduan jelas perlu diperincikan oleh pihak kementerian, termasuklah jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman rotan, kaedah pelaksanaan, serta pihak yang dibenarkan melaksanakannya.

“Rotan bukanlah simbol kekerasan, sebaliknya satu bentuk didikan berhemah yang telah terbukti berkesan dalam mendidik generasi terdahulu menjadi lebih berdisiplin, beradab dan bertanggungjawab,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menambah jika tindakan tegas seperti ini tidak diambil ia dikhuatiri melahirkan generasi yang tidak berasa bersalah apabila melakukan kesalahan, bahkan mungkin menganggap peraturan sekolah sekadar formaliti tanpa nilai.

Katanya akibat daripada itu, budaya hormat dan rasa tanggungjawab terhadap guru serta masyarakat akan terus pudar.

“Sebagai contoh, dahulu jika seseorang pelajar tertinggal buku atau tidak menyiapkan kerja sekolah, mereka akan dikenakan denda ringan seperti berdiri sepanjang sesi kelas atau menerima sebatan ringan di tangan (bukan tangan yang digunakan untuk menulis).

“Hukuman seperti ini bukan bertujuan untuk menyakiti, tetapi untuk menanam rasa tanggungjawab dan malu apabila melakukan kesalahan. Dari situlah wujudnya sifat berhati-hati dan disiplin dalam diri pelajar,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO