Mahdzir Terus Santuni Rakyat, Tinjau Pembangunan Desa Di Langkawi
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid terus komited mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang, selari dengan semangat perjuangan UMNO yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan menziarahi Suhaimi, jurufoto UMNO Kedah di kediamannya di Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah yang kini dalam proses pemulihan selepas mengalami masalah kesihatan.
“Alhamdulillah, kesihatan beliau beransur baik.
“Didoakan semoga cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut turun padang ke Langkawi bagi menyertai Program Turun Desa.
Beliau memanfaatkan keberadaan tersebut dengan menziarahi mereka yang keuzuran serta menyampaikan sumbangan bantuan makanan di Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Program diteruskan ke Pulau Tuba dengan lawatan ke Desa KEDA Teluk Berembang, di mana beliau turut meninjau projek pembangunan usahawan koperasi Koperasi Bestuba dan inisiatif usahawan Women Biz KEDA iaitu Lekoshow.
“Saya amat berbesar hati dapat menyantuni penduduk setempat dan melihat sendiri usaha-usaha pemberdayaan ekonomi yang dijalankan,” ujar Mahdzir. – UMNO Online
