Duta Kecil Malaysia Bawa Nama Negara Di Bumi Kemboja – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga terhadap semangat patriotik rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, khususnya di Kemboja, yang terus membawa nama negara dengan penuh kebanggaan.
Menurut beliau, setiap kali mengadakan lawatan rasmi ke luar negara, detik paling bermakna ialah ketika berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama komuniti Malaysia yang berada di perantauan.

“Alhamdulillah, walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang dan bidang, kita semua berkongsi semangat yang sama iaitu cinta yang mendalam kepada tanah air dan rasa bangga membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Tambah Ahmad Zahid, kehadiran rakyat Malaysia di Kemboja bukan sahaja menjadi duta kecil yang mempromosikan nama baik negara, malah turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Kemboja.
Dalam majlis ramah mesra bersama komuniti Malaysia di Phnom Penh malam tadi, Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh atas komitmen dan layanan mesra dalam menyantuni rakyat Malaysia di negara berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang meluangkan masa hadir untuk kita berjumpa, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim. Penghargaan juga kepada pihak kedutaan atas usaha berterusan menjaga kebajikan komuniti kita di sini,” ujarnya lagi. – UMNO Online
