Bukan Hanya Kerana PRN… UMNO Sipitang Terus Perkukuh Semangat Juang Dan Prihatin Rakyat
SIPITANG, 15 Okt – Deru angin perjuangan semakin terasa, menandakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kian hampir.
Namun bagi Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Noh, perjuangan yang akan digalas bukan sekadar untuk nama, tetapi atas tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat dan parti.
“Yang akan melangkah ke gelanggang bukan kerana nama, tetapi kerana tanggungjawab untuk berjuang demi rakyat dan masa depan negeri tercinta,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas berkesempatan menyantuni beberapa penduduk setempat dalam siri ziarah prihatin dan penyerahan sumbangan oleh UMNO Bahagian Sipitang.
Antaranya termasuk Saudara Mustapa Osman, Ketua Cawangan UMNO Ulu Sipitang, yang isterinya bakal menjalani rawatan kemoterapi pada 16 Oktober ini.
“Semoga beliau dan keluarga terus cekal menghadapi ujian ini dengan penuh ketabahan, tawakal dan kekuatan hati,” ujar Abdul Rahman sambil menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.
Dalam program sama, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Puan Sapnah Lampung, yang mewakili anak kembarnya yang kini melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Ucapan tahniah di atas kejayaan mereka. Semoga anak muda Sipitang terus gigih menimba ilmu serta membawa nama keluarga dan daerah ini ke persada kejayaan,” tambahnya.
Sementara itu, Abdul Rahman turut meluangkan masa menziarahi Saudara Jasmi Puteh Jas Puteh di kediamannya di Kampung Batu 7 Pantai, yang kini sedang diuji dengan masalah kesihatan selepas diserang strok.
Beliau dijadualkan menjalani rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth, dan Abdul Rahman mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
“UMNO Sipitang sentiasa komited untuk mendekati rakyat, mendengar keluhan dan membantu seikhlas hati. Inilah semangat perjuangan yang menjadi nadi kekuatan parti – berbakti tanpa henti, berjuang tanpa lelah,” tegasnya. – UMNO Online
