Insiden Pembunuhan Pelajar, Dr Asyraf Luah Kebimbangan Krisis Moral Remaja
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan rasa hiba dan bimbang dengan insiden pembunuhan pelajar di sebuah sekolah yang berlaku hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi MARA menyifatkan kejadian itu amat mengejutkan apatah lagi ia berlaku di institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat selamat buat para pelajar.
“Pemikiran saya amat terganggu dan jiwa saya amat tersentuh dan berduka cita membaca berita yang terbaru berkenaan dengan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditikam mati oleh pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf juga merujuk kepada insiden rogol bergilir-gilir sebelum ini yang turut dikaitkan dengan pelajar sekolah di Melaka.
“Dalam tempoh dua, tiga bulan ini beberapa peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan generasi muda hari ini benar-benar menyentuh hati kita semua dan mengusarkan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Dr Asyraf dalam pada itu menyeru semua pihak untuk memainkan peranan penting dalam menangani krisis nilai dan moral sedang melanda generasi muda hari ini.
“Apa yang berlaku kepada generasi hari ini? Usahlah kita menunding jari dan berterusan menyalahkan antara satu sama lain. Suatu tindakan yang bersifat holistik dan drastik perlu dilakukan oleh kita semua.
“Bagi saya, ibu bapa juga memainkan peranan penting di samping guru-guru pihak sekolah, maktab dan pengurusan kerana segalanya bermula dari rumah.
“Bak kata pepatah Arab ‘mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok jika batangnya dari kayu yang bengkuk begitulah peribadi seseorang terbentuk’ ” katanya.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memaklumkan, siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur buli. – UMNO Online
