Tangani Segera Kegagalan Sistem Pendidikan Negara

JOHOR BAHRU, 14 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor melahirkan rasa kesal dan kecewa susulan beberapa kejadian jenayah berat termasuk rogol dan bunuh yang berlaku di kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata kejadian sedemikian tidak sepatutnya berlaku di institusi pendidikan yang seharusnya menjadi zon paling selamat buat pelajar dan murid.

Beliau berkata, Pemuda Johor yakin dengan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkenaan serta mendesak agar pihak yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan.

“Jenayah berat di kawasan sekolah ini seharusnya menjadi wake-up call kepada seluruh masyarakat. Ia menggambarkan wujud satu wabak sosial yang membimbangkan apabila tempat yang sepatutnya paling selamat untuk anak-anak juga tidak lagi terlepas daripada ancaman tragedi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azleen, kejadian tersebut turut mencerminkan berlakunya kegagalan sistemik (systemic failure) dalam sistem pendidikan negara yang perlu ditangani segera bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat secara fizikal, moral dan emosi.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia, para guru serta kakitangan sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pelajar di kawasan sekolah, manakala ibu bapa pula perlu lebih peka serta aktif memantau perkembangan anak-anak mereka.

“Jabatan dan agensi lain seperti PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan bukan kerajaan turut mempunyai tanggungjawab besar memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pelajar,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO