Ahmad Zahid Memperkukuh Hubungan Strategik Malaysia–Kemboja Di Peace Palace

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Malaysia terus komited memperkukuh hubungan strategik dengan Kemboja menerusi pelbagai bidang kerjasama dua hala yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dizahirkan melalui pertemuannya dengan Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, TYT Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet di Peace Palace, sempena 13th ASEAN Ministerial Meeting on Disaster Management dan 14th Conference of the Parties to AADMER yang sedang berlangsung di Phnom Penh.

Menurut beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, pertemuan itu mencerminkan hubungan erat yang sekian lama terjalin berasaskan persahabatan, saling percaya dan hormat antara kedua-dua negara.

“Perbincangan kami berlangsung dengan produktif dan berpandangan jauh. Kami menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pertanian, ekonomi digital dan pelancongan.

“Perdagangan antara Malaysia dan Kemboja terus berkembang pesat, mencecah hampir USD 750 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 45% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Kedua-dua pihak yakin nilai perdagangan dua hala akan melebihi USD 1 bilion menjelang 2026. Malaysia kekal sebagai antara pelabur utama di Kemboja, dan kami berhasrat memperluas kerjasama dalam ketersambungan digital, tenaga boleh diperbaharui dan industri agro-makanan,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja atas sokongan terhadap pelabur Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara itu.

“Syarikat-syarikat Malaysia telah melabur secara signifikan dalam sektor utama seperti telekomunikasi, perbankan dan pembuatan, sekali gus menyumbang bukan sahaja kepada perdagangan dua hala tetapi juga kepada pertumbuhan dan kesejahteraan ekonomi domestik Kemboja,” ujarnya.

Dalam aspek keselamatan serantau, Malaysia dan Kemboja turut menyambut baik kemajuan ke arah penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (ASEAN Operations Team – AOT) yang akan menjadi mekanisme utama memperkukuh kerjasama keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

“ASEAN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan penting dalam memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand. Penubuhan AOT akan menjadi mekanisme utama bagi memastikan perjanjian gencatan senjata dilaksanakan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.”

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia dan Kemboja juga meneroka kerjasama baharu dalam industri Halal, termasuk perkongsian kepakaran dalam pensijilan, pembangunan Taman Industri Halal serta penubuhan Majlis Halal ASEAN.

Bagi bidang tenaga kerja dan pendidikan, beliau memaklumkan bahawa Malaysia komited memastikan kebajikan pekerja Kemboja di negara ini terpelihara, di samping memperluas peluang kepada tenaga pengajar dan pensyarah Kemboja untuk berkhidmat di Malaysia, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperkukuh perdagangan pertanian, khususnya dalam minyak sawit dan beras, bagi mempertingkat sektor keselamatan makanan serantau.

“Kami turut membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan dan pelancongan perubatan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Kemboja dan negara anggota lain bagi memperkukuh perpaduan, kredibiliti dan peranan utama ASEAN dalam mempromosikan keamanan serta kerjasama kemanusiaan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO