PRN Sabah: Calon Muda, Segar, Berwibawa Mampu Perjuangkan Aspirasi Rakyat
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menampilkan barisan calon yang segar dan berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan hampir 80 peratus terdiri daripada muka baharu serta golongan muda.
Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, langkah itu selaras dengan makluman Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu memastikan calon yang diketengahkan mempunyai kredibiliti dan mampu memperjuangkan aspirasi rakyat.
“Pemilihan calon kali ini menunjukkan kesungguhan parti untuk memberikan peluang kepada generasi muda daripada pelbagai latar belakang. Ia bukti bahawa UMNO/BN sentiasa membuka ruang kepada bakat baharu untuk meneruskan perjuangan parti.
“Gabungan antara generasi ini akan menjadi formula kejayaan UMNO/BN. Kita perlukan semangat baharu yang digerakkan oleh tenaga muda, namun tetap berpaksikan bimbingan daripada pemimpin berpengalaman.
“Generasi muda hari ini lebih kritikal dan berfikiran terbuka. Sebab itu, calon-calon muda yang ditampilkan harus berani tampil dengan idea segar, bukan sekadar mengulangi janji lama,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, dengan pendekatan baharu ini UMNO/BN Sabah mampu menarik kembali sokongan pengundi muda yang kini menjadi penentu utama dalam setiap pilihan raya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menjelaskan Pemuda UMNO/ BN Sabah sudah mula digerakkan sebagai pasukan hadapan dalam kempen kesedaran politik di seluruh negeri.
“Pemuda akan menjadi jentera paling aktif turun padang. Kita mahu pastikan setiap kawasan mempunyai jentera muda yang bersiap siaga membantu calon UMNO/BN.
“PRN kali ini bukan sekadar pertarungan politik, tetapi perjuangan menentukan masa depan Sabah. Hanya dengan kestabilan, pelaburan dan pembangunan dapat diteruskan dan semua ahli parti terus berpadu dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi pihak lawan,” katanya lagi.
Seterusnya kata Dr Anil, UMNO/BN Sabah akan terus menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan menolak politik perpecahan yang boleh menggugat perpaduan negeri itu.
“Sabah memerlukan kerajaan yang stabil dan berpengalaman untuk membawa kemajuan berterusan. UMNO/BN komited memainkan peranan itu demi kesejahteraan semua lapisan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online
