Ziarah Kasih Wanita UMNO Sabah, Usaha Ringankan Beban Rakyat

PENAMPANG, 14 Okt – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, berkata semangat prihatin dan kebersamaan menjadi asas utama perjuangan Wanita UMNO dalam membantu rakyat yang berdepan kesusahan, terutama ketika dilanda musibah.

Terbaharu, beliau bersama Wanita UMNO Penampang telah menganjurkan Program Ziarah Kasih di Kampung Ganang, Kapayan, bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Program tersebut turut disertai oleh barisan kepimpinan Wanita UMNO bahagian dan sukarelawan setempat.

Ujar Noraini, dalam program berkenaan, sumbangan bakul makanan tajaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disampaikan kepada keluarga yang terkesan, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka.

Beliau menegaskan, walaupun bantuan yang diberikan tidak sebesar mana, namun ia mencerminkan nilai kasih dan tanggungjawab sosial yang sentiasa menjadi keutamaan dalam gerak kerja Wanita UMNO.

“Kita ingin memastikan setiap keluarga yang terjejas mendapat perhatian sewajarnya. Sumbangan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya bagi mereka yang sedang berdepan ujian,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PTPTN atas kerjasama strategik dalam menjayakan program kebajikan ini, serta mengajak lebih banyak agensi dan rakan korporat untuk bersama membantu masyarakat yang memerlukan.

Program seumpama ini juga, menurutnya, bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa, tetapi mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan parti dengan masyarakat akar umbi.

“Semoga usaha kecil ini membawa sinar dan keceriaan dalam kehidupan mereka yang diuji. Wanita UMNO akan terus komited turun padang, mendengar dan membantu rakyat tanpa mengira waktu,” tambah Noraini lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO