Johari Terus Khidmat Bakti di Titiwangsa, Jalin Ukhuwah Dengan Anak Muda
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meneruskan khidmat bakti di kawasan dengan mendekati pelbagai lapisan masyarakat.
Terbaharu beliau yang juga Naib Presiden UMNO bersama dengan lebih 400 anak muda dari kawasan Kampung Bharu, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat bersempena Kejohanan Futsal Titiwangsa Piala Johari Ghani.
“Apa yang penting bagi saya ialah usaha untuk mewujudkan aktiviti yang bermanfaat bagi mengisi masa lapang mereka.
“Melalui penganjuran seperti ini, penglibatan dalam gejala sosial negatif dapat dikurangkan, di samping memberi manfaat kepada pembentukan identiti komuniti setempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Johari juga menyifatkan program seumpama ini bukan sekadar inisiatif penglibatan sosial, malah menjadi platform penting untuk membina hubungan yang lebih erat di antara anak-anak muda yang membesar di Bandaraya Kuala Lumpur.
Katanya ia sekaligus menyemai rasa percaya serta semangat kebersamaan dalam membentuk masa depan bandar yang lebih progresif dan sejahtera.
“Ia juga menjadi platform untuk membina hubungan yang lebih baik dengan anak-anak muda yang membesar di Bandaraya Kuala Lumpur ini.
“Tahniah kepada pemenang daripada pasukan Cendana Perkasa, Kartalla Jr. A dan Sina FC!” ujar beliau. – UMNO Online
