PRN Sabah: UMNO/BN Siap Siaga Sepenuhnya, 80 Peratus Calon Muka Baharu – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 14 Okt – Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menampilkan barisan calon yang segar dan berwibawa dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan hampir 80 peratus terdiri daripada muka baharu dan golongan muda, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pemilihan calon kali ini parti untuk memberikan peluang kepada generasi muda daripada pelbagai latar belakang.

“Dari segi kerusi dan calon, semuanya telah dimuktamadkan sepenuhnya. Kita mahu tampil dengan pasukan yang mampu membawa suara rakyat dengan pendekatan segar, profesional dan dekat dengan masyarakat,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, malam tadi.
Menurut Bung Moktar, UMNO Sabah kini berada dalam mode siap siaga sepenuhnya menghadapi PRN17 dengan kekuatan akar umbi melibatkan 6,044 cawangan dan 614,994 ahli, iaitu 474,252 daripadanya layak mengundi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelancaran jentera, manifesto dan pengumuman calon akan dibuat dalam masa terdekat.
“UMNO Sabah menekankan disiplin serta mesej yang jelas iaitu membawa perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama rakyat Sabah, demi kestabilan dan masa depan negeri ini,” katanya.
Tambahnya, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) akan terus diperkukuh sebagai formula seimbang antara kekuatan akar umbi dan idealisme pembaharuan untuk memastikan kestabilan politik Sabah. – UMNO Online
