Ahmad Zahid Bawa Misi Diplomatik Malaysia Ke Kemboja
KUALA LUMPUR, 14 Okt — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di Phnom Penh, Kemboja malam tadi bagi mengetuai misi diplomatik Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau ASEAN.
Ketibaan beliau yang juga Presiden UMNO disambut oleh Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, TYT Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili Kerajaan Kemboja; TYT Shaharuddin Onn, Duta Besar Malaysia ke Kemboja; pegawai-pegawai kedutaan; serta TYT Kim Virak, Setiausaha Agung NCDM.

Menurut Ahmad Zahid, Malaysia dan Kemboja berkongsi semangat serantau yang sama khususnya dalam memperkukuh daya tahan bencana serta memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi halal, pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), telekomunikasi serta pelaburan desa.
“Saya percaya bahawa dengan hubungan yang erat dan berterusan, kita bukan sahaja memperkukuh ASEAN, tetapi turut memperteguh masa depan rakyat serantau,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau turut menyatakan harapan agar lawatan ini membawa manfaat besar kepada Malaysia dan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Dalam rangka lawatan ini, Ahmad Zahid akan mewakili Malaysia menyampaikan Kenyataan Menteri pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dalam Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-13 dan COP-AADMER Ke-14.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi Kemboja termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara itu. – UMNO Online
