RUU Tribunal Anti Buli Akan Dibentang Pada Disember – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa bacaan pertama, kedua dan ketiga untuk Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli akan dilaksanakan di sidang Parlimen, Disember ini.

Jelasnya, tujuan RUU Tribunal Anti Buli tersebut adalah untuk memastikan proses penyelesaian kes buli dilaksanakan dengan cepat sekiranya keputusan pihak sekolah dianggap tidak memberikan kepuasan.

“RUU Tribunal Anti Buli yang sedang kita usahakan ini sebenarnya adalah seperti Akta Gangguan Seksual, memberi tumpuan kepada keseluruhan penubuhan tribunal. Tujuan tribunal ini, seperti yang difahami oleh orang ramai, adalah untuk memastikan proses penyelesaian lebih cepat berbanding mahkamah.

“Saya juga ada menyebut bahawa sekiranya kes melibatkan individu di bawah umur 18 tahun dan berada di bawah bidang kuasa sekolah, pihak sekolah perlu menyelesaikannya terlebih dahulu. Namun begitu, undang-undang yang sedang kita rangka ini juga membolehkan aduan dibuat terus kepada tribunal sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah.

“Ini kerana kita tidak mahu mereka berfikir bahawa jika berada di bawah bidang kuasa sekolah, mereka tidak mempunyai platform lain. Tetapi timbul juga isu sama ada perlu diwujudkan undang-undang lain untuk mereka yang berumur lebih 18 tahun — di sinilah Kabinet perlu membuat keputusan dengan mempertimbangkan kebaikan dan keburukannya. Ini kerana, seperti yang kita tahu, terdapat lebih 10,000 sekolah dengan lebih 5.1 juta pelajar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas mempengerusikan Forum ‘Pembinaan Negara dan Ketahanan Masa Hadapan: Belia dan Isu Buli’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, beliau percaya bahawa setiap institusi sama ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) atau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mempunyai sistem tersendiri.

“Saya fikir jika digabungkan untuk dibuka kepada semua peringkat umur, ia mungkin akan menyebabkan jumlah kes yang terlalu besar untuk ditangani. Oleh itu, jawatankuasa teknikal sedang menilai perkara ini. Apabila kami mengadakan sesi perbincangan, kita meletakkan premis bahawa mereka adalah golongan dewasa muda.

“Daripada perbincangan kami, pemimpin kesatuan pelajar menyebut bahawa universiti sebenarnya sudah mempunyai banyak mekanisme dalaman yang berfungsi. Jadi, saya percaya di Malaysia, sama ada institusi di bawah KPM atau KPT, masing-masing mempunyai sistem dalaman tersendiri. Namun begitu, memandangkan jumlah pelajar dan universiti yang begitu besar, sudah tentu akan wujud jurang dalam pelaksanaan serta pemantauan.

“Saya juga sering menekankan bahawa definisi ‘buli’ perlu diperincikan dengan lebih jelas. Ini kerana pada masa ini, istilah buli tidak hanya terhad kepada satu bentuk sahaja — ia merangkumi aspek verbal, emosi, sosial dan siber. Kesemua ini belum lagi ditakrif secara khusus dalam mana-mana undang-undang sedia ada. Jadi, kita berharap dengan adanya undang-undang khas ini yang bermula dengan definisi tersebut, secara teknikalnya kita sedang memulakan langkah pertama untuk mentakrifkan maksud buli sebenar-benarnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penubuhan RUU Tribunal tersebut adalah untuk mencari penyelesaian dan bukan sekadar menghukum pesalah.

“Sudah tentu ada juga persoalan daripada pelajar tentang adakah undang-undang ini terpakai kepada bukan warganegara. Jawapannya ya, kerana ia tetap undang-undang. Walau bagaimanapun, bagi kes di bawah umur 18 tahun, nasihat khusus daripada Pesuruhjaya Kanak-kanak (SUHAKAM) hukuman, perlu diambil kira secara berbeza, dan mereka sedang meneliti kuasa kehakiman tribunal ini, ia bukan mahkamah biasa. Tribunal ini berfungsi dengan lebih pantas, bersifat sulit, dan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu.

“Pada asasnya, tribunal ini bertujuan mencari penyelesaian, bukan menghukum semata-mata. Dalam konteks bawah umur 18 tahun, mereka sedang melihat dari perspektif berbeza — sama ada sesuatu kes dianggap sebagai jenayah atau tidak. Semua perkara ini masih perlu dinilai oleh Kabinet. Saya tidak boleh umumkan secara terperinci lagi, tetapi kita sudah pun mempunyai draf akta yang siap.

“Minggu ini kita akan adakan sesi di Pantai Timur, dan selepas itu diharapkan akan diteruskan ke Sabah dan Sarawak. Setakat ini, kita berharap segalanya akan mengikut jadual seperti yang telah saya janjikan kepada Perdana Menteri… pada sesi Parlimen bulan Disember nanti akan diadakan bacaan pertama, kedua dan ketiga bagi RUU Tribunal Anti Buli ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO