Terus Khidmat Bakti, Bina Keyakinan Rakyat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh ahli parti agar tidak leka dengan permainan persepsi yang dimainkan pihak tertentu, sebaliknya terus tampil dengan tindakan serta hasil kerja nyata demi membina keyakinan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan bahawa kekuatan UMNO hari ini bergantung kepada kemampuan ahlinya untuk membuktikan keberkesanan di lapangan melalui fakta dan bukti jelas.

“Saya menyeru agar seluruh ahli UMNO menangani permainan persepsi dengan tindakan nyata. Kita mesti kuat dalam medan fakta dan terus membina keyakinan rakyat melalui kerja nyata, bukan retorik semata-mata.

“Saya yakin selagi ada darah perjuangan dalam diri kita, selagi semangat orang parti membara, UMNO akan terus hidup, terus memimpin dan terus menjadi benteng agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook bagi berkongsi kehadirannya merasmikan Retreat UMNO Bahagian Gerik Tahun 2025 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Bentong.

Mengulas lanjut kata beliau program seumpama ini amat penting dalam menyusun strategi parti secara bersama memperkemas hala tuju.

Katanya lagi ia juga bagi mempererat hubungan antara saf kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat demi kelangsungan perjuangan UMNO.

“Retreat ini bukan sekadar perhimpunan biasa, ia medan bermuhasabah diri, mengukuh ukhuwah, serta menyatukan fikiran dan semangat perjuangan kita semua.

“Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Aznel Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian Gerik serta seluruh kepimpinan UMNO Bahagian atas penganjuran program yang penuh makna ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO