UMNO Bentong Terus Santuni Veteran, Kenang Jasa Perjuangan Parti
BENTONG, 1 Okt – Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menegaskan bahawa parti keramat UMNO akan terus menghargai jasa dan pengorbanan ahlinya di pelbagai peringkat yang telah banyak menabur bakti demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Sehubungan itu, ujarnya, UMNO Bahagian Bentong baru-baru ini telah melaksanakan program Ziarah Kasih Veteran UMNO Bahagian Bentong dengan menziarahi beberapa tokoh yang pernah memainkan peranan penting dalam memperkukuh parti di peringkat bahagian dan cawangan.

Maklumnya, antara yang disantuni dalam program ini ialah Tuan Haji Nordin Ali, bekas Pengerusi Tetap Bahagian; Puan Hajah Fatimah Ibrahim, bekas Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian; serta Tuan Haji Rosli Ibrahim, bekas Ketua UMNO Cawangan Ketari.
“Alhamdulillah, UMNO Bahagian Bentong berbesar hati dapat menziarahi tokoh-tokoh yang telah mengorbankan tenaga dan masa mereka untuk parti. Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja sebagai tanda ingatan, bahkan sebagai usaha murni untuk memastikan perjuangan dan jasa para veteran terus dikenang oleh generasi UMNO masa kini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menegaskan bahawa kesinambungan perjuangan UMNO hanya akan kekal utuh sekiranya generasi baharu menghargai perjuangan generasi terdahulu.
Menghormati veteran, ujarnya, adalah asas untuk memperkukuh silaturrahim dan mengekalkan kekuatan parti di semua peringkat.
“InsyaAllah, selepas ini kita akan terus melebarkan program ini agar lebih ramai lagi veteran dan ahli lama parti dapat disantuni. Jasa mereka amat besar dan tidak harus dilupakan.”
Katanya, program Ziarah Kasih ini juga mencerminkan keprihatinan UMNO dalam amalan politik berjiwa rakyat, mendekati ahli dan bekas pemimpin yang pernah menabur bakti.

“Ia sekaligus memberi mesej jelas bahawa UMNO sentiasa menghargai, menjaga kebajikan, serta merapatkan hubungan kekeluargaan dalam parti.
“Semangat perjuangan veteran inilah yang akan terus menjadi inspirasi kepada UMNO Bentong dalam memastikan parti kekal relevan dan terus diterima rakyat,” tambah beliau.
Terdahulu, program ini dilakukan oleh Setiausaha Bahagian, Haji Abdul Rahman Abdul Aziz bersama jawatankuasa UMNO Bahagian. Turut hadir memeriahkan ziarah ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Ahmad Saifulzaman Abdul Rahim; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Naqiuddin Mohamad Zaini; barisan AJK UMNO Bahagian Bentong serta Pengerusi JPKK Kg. Baru Bentong, Ridzuan Abdul Kaiyim. – UMNO Online
