Sepatutnya Kerajaan Kelantan Bersama Pihak Berwajib Basmi Kegiatan Haram – Zawawi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berpandangan bahawa sepatutnya Timbalan Menteri Besar (TMB), Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berganding bahu bersama pihak berwajib untuk membasmi pangkalan haram.

Membidas kenyataan Mohamed Fadzli, beliau beranggapan bahawa mempertahankan pangkalan haram itu seumpama menghalalkan perkara yang tidak sepatutnya.

“Bahaya kenyataan TMB Kelantan. Kita berhadapan dengan situasi yang bercelaru apabila pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Kelantan mengeluarkan kenyataan menentang undang-undang.

“Mempertahankan pangkalan haram seumpama dengan menghalalkan perkara yang haram.

“Sepatutnya TMB kena bersama pihak berkuasa dalam membasmi pangkalan haram kerana kegiatan jenayah, penyeludupan, pengedaran dadah dan senjata api rentas sempadan sering berlaku di pangkalan-pangkalan tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohamed Fadzli menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pengkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.

Beliau berkata, operasi perobohan yang dijalankan di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu keselamatan, imigresen dan undang-undang dua negara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO