UMNO Kukuh Demi Rakyat, Bukan Sekadar Politik – Mohd Zaidy
JEMPOL, 23 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa kesetiaan dan keikhlasan adalah tunjang utama dalam memperkukuhkan UMNO, manakala pengkhianatan hanya akan melemahkan parti serta merugikan bangsa dan negara.
Menurut beliau, merosakkan parti adalah sesuatu yang mudah dilakukan, namun menyatukan kembali memerlukan jiwa besar, keikhlasan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

“Kalau kita ikhlas dan setia, UMNO akan terus bertahan. Tetapi jika wujud pengkhianat yang hanya mencari ruang untuk merosakkan parti, akhirnya yang rugi adalah bangsa dan negara kita sendiri,” ujarnya kepada UMNO Online.
Mohd Zaidy berkata, inilah yang sedang dilaksanakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang memperkukuh parti bukan sekadar untuk kepentingan politik, tetapi demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Datuk Seri Ahmad Zahid tidak hanya memperkukuh parti, malah melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) beliau mengutamakan pembangunan masyarakat luar bandar, memperkukuh pendidikan serta menyediakan peluang TVET untuk anak-anak muda. Ini adalah antara bukti bagaimana UMNO melalui kepimpinannya bukan hanya bercakap, tetapi berbuat demi rakyat.”
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini jauh berbeza dengan parti lawan seperti PPBM dan Pas yang dilihat hanya sibuk berpolitik serta saling menuding jari tanpa memberikan penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Rakyat sudah muak dengan politik tuding jari, apatah lagi pengkhianatan yang dilakukan atas kepentingan peribadi dan agenda sendiri. Cukuplah apa yang telah berlaku sebelum ini, perpecahan berlaku akibat penghianatan dan gagalnya memahami maksud setia.
“UMNO yang ada hari ini adalah kesinambungan perjuangan dan di bawah kepimpinan Presiden, kita lebih fokus kepada agenda pengukuhan, pembangunan, kebajikan, dan masa depan negara. Inilah beza antara mereka yang ikhlas berjuang dengan mereka yang hanya bermain politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO agar terus berdiri teguh mendukung perjuangan parti dengan kesetiaan dan keikhlasan demi memastikan UMNO kekal utuh dan mampu terus menjadi pelindung rakyat. – UMNO Online
