Pas Dan PPBM Tidak Jujur Antara Satu Sama Lain

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan Pas dan PPBM tidak jujur antara satu sama lain walaupun mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mentadbir negara.

Beliau berkata ia diterjemahkan dengan perbalahan terbuka oleh pemimpin kedua-dua parti termasuk yang terbaharu berkenaan dana pilihan raya di antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

“Walaupun hasrat nampak macam satu hendak memerintah Malaysia tapi sebenarnya niat berbeza… itu yang jadi kelam kabut. Mereka pun tak jujur antara satu sama lain.

“Saya yakin kalau perkara itu benar-benar berlaku, saya rasa… bukan nak memihak, tapi saya lebih percaya kepada apa yang disebut oleh Dr Marzuki.

“Kemungkinan masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri. Tentulah sumber-sumber kewangan ada kan?” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau juga percaya bahawa ia juga antara faktor utama yang menyebabkan Pas berpaling tadah daripada Muafakat Nasional.

“Jadi Pas mungkin lihat itu sebagai peluang untuk dapatkan segala pembiayaan daripada Tan Sri Muhyiddin.

“Itu juga antara sebab kemungkinan kenapa mereka (Pas) tidak bersama dengan UMNO. Mungkin juga pengaruh kewangan pada ketika itu,” ujar beliau.

Terdahulu perselisihan terbuka antara Sanusi dan Dr Marzuki bermula apabila Menteri Besar Pas itu mendakwa mereka terpaksa membiayai sendiri peralatan pilihan raya, malah mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) untuk parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Dr Marzuki mendakwa PPBM menanggung semua kos pilihan raya PN termasuk sumbangan kepada Pas, sehinggakan Sanusi kembali mempersoal ke mana wang itu disalurkan dan siapa penerima yang menguruskan perbelanjaan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO