Penubuhan Jawatankuasa Khas Anti Buli Selaras Keperluan Semasa, Cabaran Sosial

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tenom, Mohd Aruan Siden menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Anti Buli sebagai usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, langkah itu bersama dukungan masyarakat mampu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, beradab dan bebas daripada budaya buli.

“Kami menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Anti Buli yang diumumkan oleh pihak kerajaan sebagai langkah serius dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan pelajar, remaja dan masyarakat umum.

“Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said. Penubuhan jawatankuasa ini merupakan langkah tepat dan amat signifikan dalam usaha negara memperkukuhkan agenda perlindungan keselamatan, kesejahteraan serta maruah rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga turut percaya jawatankuasa khas ini, akan menjadi platform penting untuk mengubal akta buli yang lebih komprehensif dan berkesan sebagai instruman undang-undang baru, selaras dengan keperluan semasa serta cabaran sosial masyarakat.

“Memperkukuhkan kerjasama rentas antara kementerian serta agensi penguatkuasa bagi memastikan pendekatan menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Meningkatkan kesedaran awam tentang kesan buruk budaya buli melalui kempen pendidikan, advokasi dan penguatkuasaan yang bersepadu,” katanya lagi

Mohd Aruan dalam pada itu berpandangan gejala buli bukan sahaja memberi kesan negatif kepada mangsa dari segi fizikal dan emosi, malah boleh menggugat keharmonian sosial serta merencatkan pembangunan insan.

Katanya lagi dengan penubuhan jawatankuasa khas ini amat tepat pada masanya dalam memastikan usaha pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kami turut menyokong usaha kerajaan untuk menggubal Akta Anti Buli yang komprehensif agar undang-undang sedia ada dapat diperkuatkan dengan peruntukan khusus berkaitan jenayah buli.

“Akta ini diharap mampu menjadi landasan kukuh bagi melindungi mangsa, mendidik masyarakat, serta memberi mesej jelas bahawa budaya buli tidak akan dikompromi sama sekali.

“Selain itu, kami menekankan kepentingan kerjasama rentas kementerian dan agensi penguatkuasaan lain, bagi memastikan isu buli ditangani dari pelbagai sudut sama ada melalui aspek pendidikan, kesedaran, advokasi, pemulihan dan tindakan undang-undang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79