76 Tahun: Wanita Tulang Belakang, Pemuda Benteng Utama Parti

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Selama 76 tahun ditubuhkan, Wanita UMNO konsisten memainkan peranan sebagai tulang belakang parti manakala Pergerakan Pemuda UMNO pula menjadi benteng utama.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Wanita UMNO sentiasa setia dan istiqamah mempertahankan perjuangan parti dalam apa jua keadaan.

“Pada 25 Ogos 2025, kita meraikan ulang tahun ke-76 penubuhan Wanita UMNO Malaysia, sayap parti yang telah menjadi tonggak perjuangan bangsa sejak ditubuhkan pada tahun 1949.

“Penubuhan Wanita UMNO adalah untuk menghimpunkan suara, tenaga dan semangat kaum wanita dalam memperjuangkan nasib rakyat, khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan masyarakat serta pengukuhan kedudukan politik Melayu, Bumiputera.

“Sejak dahulu hingga kini, Wanita UMNO menjadi tulang belakang parti – setia dan istiqamah mempertahankan perjuangan UMNO dalam apa jua keadaan. Wanita UMNO terbukti menjadi benteng kekuatan parti, bukan sahaja dalam memenangi pilihan raya, malah dalam menjaga kebajikan rakyat di akar umbi.

“Wanita UMNO juga terus cakna terhadap landskap politik negara, memahami denyut nadi rakyat dan memastikan suara wanita sentiasa didengar serta diberi perhatian dalam pembangunan negara. Semoga Wanita UMNO Malaysia akan terus teguh, bersemangat dan bersatu padu dalam melakar sejarah perjuangan demi agama, bangsa serta tanah air,” kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar itu menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam membicarakan hal yang sama, Rosnah berkata begitu juga dengan kekuatan Pergerakan Pemuda UMNO yang terletak pada keberanian, semangat juang, disiplin dan kesetiaan kepada parti.

“Pergerakan Pemuda UMNO lahir sebagai penyambung obor perjuangan bangsa, memimpin barisan hadapan dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Dari dahulu hingga kini, Pemuda UMNO sentiasa tampil sebagai benteng utama dalam memperjuangkan hak rakyat, menjadi suara anak muda dan pendorong kepada kesinambungan kepimpinan negara.

“Pemuda UMNO telah melakar sejarah besar dalam perjuangan parti – sama ada di medan politik, lapangan kebajikan, mahupun di jalan raya… menuntut keadilan untuk rakyat. Kekuatan Pemuda terletak pada keberanian, semangat juang, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan perjuangan UMNO,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kekal teguh, berani dan konsisten dalam memacu agenda perjuangan.

“Hari ini, Pemuda UMNO terus melangkah dengan visi segar, berani mendepani cabaran baharu politik tanah air, seiring dengan tuntutan generasi muda yang lebih progresif, berilmu dan berpandangan jauh.

“Semoga Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kekal teguh, berani dan konsisten dalam memacu agenda perjuangan demi agama, bangsa serta negara. Teruslah menjadi benteng hadapan UMNO dan payung perjuangan rakyat di seluruh pelusuk tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79