Budaya Serang Sesama Pemimpin Perlu Dihentikan – Fadil

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Budaya fitnah dan menyerang sesama pemimpin perlu dihentikan kerana ia boleh meruntuhkan institusi parti satu hari nanti, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin.

Ujarnya, pertuduhan yang dibuat oleh salah seorang pemimpin UMNO terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilihat amat serius dan perlu diberikan perhatian.

“Selaras dengan ketetapan Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkenaan ahli-ahli UMNO supaya tidak berpecah belah, kami mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin UMNO yang menyatakan dengan jelas bahawasanya Datuk Dr Akmal Saleh adalah Ketua Pemuda H2O bukan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan memohon beliau supaya menghentikan kenyataan yang menjurus kepada serangan terhadap kepimpinan UMNO terutamanya kepada Dr Akmal dan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Pertuduhan yang dibuat adalah amat serius dan dilihat seolah-olah berniat jahat serta ingin menjatuhkan reputasi Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban berkata, budaya tersebut perlu dihentikan kerana ia membuka ruang kepada kemenangan pihak lawan yang mahu melihat pemimpin UMNO bermusuhan.

“Seandainya tiada permohonan maaf secara terbuka dilakukan beliau kepada Dr Akmal maka Pemuda UMNO Negeri Sembilan memohon supaya pimpinan tertinggi parti perlu membawa beliau ke Jawatankuasa Displin Parti kerana telah melanggar Perlembagaan Parti Fasal 20.9.

“Sekiranya tiada tindakan diambil, Pemuda UMNO Negeri Sembilan gusar budaya fitnah serta menyerang kepimpinan parti akan menjadi kebiasaan dan akhirnya boleh meruntuhkan institusi parti satu hari nanti.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan menuntut agar budaya ini perlu dihentikan kerana musuh UMNO masa kini memang menginginkan kita berbalah dan tidak perlulah kita menjadi salah seorang yang merealisasikan impian mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79