RMK-13: Mohd Rafi Gesa Peruntukan Untuk Naik Taraf Hospital Labuan
LABUAN, 19 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menggesa kerajaan Persekutuan agar menyediakan peruntukan khas dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menaik taraf Hospital Labuan, khususnya pemasangan sistem penghawa dingin di wad pesakit.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, perkara itu amat mendesak selepas menerima rungutan daripada pesakit yang terpaksa menanggung ketidakselesaan akibat suhu panas sehingga ada yang membawa kipas sendiri dari rumah.
“Pesakit sepatutnya diberi persekitaran rawatan yang selesa bagi mempercepatkan proses pemulihan mereka. Situasi sebegini amat menyedihkan,” katanya selepas menziarahi beberapa pesakit di hospital berkenaan semalam.
Menurut Mohd Rafi, cadangan untuk menaik taraf sistem penghawa dingin hospital itu pernah dibangkitkan ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan anggaran kos RM10 juta, namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar meneliti perkara tersebut dengan lebih serius dan memberikan keutamaan bagi memastikan rakyat Labuan menikmati kemudahan rawatan yang setara dengan hospital lain di seluruh negara. – UMNO Online