Kes Zara Qairina: Hukuman Berat Harus Dikenakan Jika Terbukti Ada Kecuaian
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Hukuman berat harus dikenakan jika terbukti wujudnya kecuaian ketika mengendalikan kes adik Zara Qairina, kata Ketua Wanita UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Nora’shekin Yusof.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu berkata, tindakan tegas tersebut penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.
“Wanita UMNO Wilayah Persekutuan berdiri teguh menyokong setiap tindakan dan siasatan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran, menegakkan keadilan serta pembelaan terhadap kes tragis yang melibatkan adik Zara Qairina.
“Kes adik Zara Qairina bukan sekadar tragedi, tetapi ia adalah ujian besar terhadap sistem keadilan negara. Jika terbukti wujudnya kecuaian daripada pihak yang terlibat, termasuk pihak sekolah dan sebagainya, hukuman berat harus diambil.
“Tindakan tegas ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya para ibu bapa, terhadap keselamatan anak-anak di sekolah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Wanita UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan akan menyertai Majlis Bacaan Yassin Perdana secara atas talian buat adik Zara Qairina bersama Wanita UMNO Malaysia pada malam ini.
“Sebagai tanda solidariti, Wanita UMNO Wilayah Persekutuan akan menyertai Majlis Bacaan Yassin Perdana secara atas talian buat adik Zara Qairina bersama seluruh Wanita UMNO Malaysia dan juga Sabah pada malam ini.
“Ini adalah untuk memohon agar pelaku sebenar segera dibawa ke muka pengadilan dan adik Zara Qairina mendapat keadilan yang sewajarnya. Keadilan untuk Zara Qairina adalah tuntutan kita bersama,” katanya lagi. – UMNO Online