Bring It On!’, Asyraf Wajdi Sedia Disaman Ibu Bapa Pelajar Dibuang MRSM Kerana Kes Buli

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana kes buli mahu memfailkan saman terhadapnya dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu.

Mendedahkan demikian dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini, Asyraf Wajdi memberi reaksi ringkas bahawa beliau bersedia jika mereka mahu bertindak demikian.

“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anak dibuang MRSM kerana kes buli nak saman saya dan MARA. Saya katakan bring it on!. Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng. #YouTouchYouGo,” katanya.

Kes buli terbaharu di MRSM dilapor berlaku di Melaka hujung bulan lalu, membabitkan enam pelajar Tingkatan 5 yang digantung dan dicadang untuk dibuang dengan Asyraf Wajdi menegaskan kepada pihak pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang rayuan.

“Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk BULI.

“Yang kita nak lahirkan generasi pemimpin berakhlak dan beradab bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan dan ketamadunan. Saya berazam menjadikan MRSM dan Institusi-institusi Pendidikan MARA sebagai zon Bebas BULI, insya-Allah,” katanya seperti dilaporkan media 26 Julai lalu.

Terdahulu pada Jun, seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama sehingga cedera di perut, rusuk dan belakang badan.

Mangsa berusia 14 tahun mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, pada kira-kira jam 11.30 malam. Enam pelajar yang didapati terbabit kes itu sudah pun dibuang serta merta.

Sebelum itu pada April, media melaporkan polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lalu.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – BH Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79