RMK13 Pacu Pembangunan Luar Bandar Sabah Secara Strategik – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan luar bandar Sabah secara lebih sistematik dan strategik.

Menurut beliau, RMK13 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi wilayah, malah memperkukuh prinsip keadilan sosial serta meningkatkan daya tahan ekonomi luar bandar dalam jangka panjang.

“RMK13 mengarusperdanakan kepentingan Sabah, khususnya melalui pelaburan dalam sektor asas seperti pertanian, perikanan dan industri asas tani. Peruntukan lebih RM227 bilion untuk sektor ekonomi, termasuk pembentukan hab perikanan bersepadu dan ekonomi biru di Sabah, adalah langkah tepat ke arah mengukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Bung Moktar berkata pendekatan menyeluruh kerajaan turut merangkumi pemodenan sektor pertanian melalui automasi dan teknologi pintar yang akan memberi impak besar kepada komuniti luar bandar.

Beliau turut memuji pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sabah seperti pembangunan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, penaiktarafan depoh biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu serta pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Selain itu, katanya, penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja luar bandar menerusi TVET dan pembiayaan khusus di bawah TVET Madani akan mencorak generasi agropreneur muda dan teknokrat tempatan, sejajar aspirasi RMK13 untuk menjana 1.2 juta peluang pekerjaan menjelang 2030, termasuk dalam bidang ekonomi digital dan pertanian pintar.

“RMK13 adalah titik tolak penting untuk menjadikan Sabah bukan sekadar penerima pembangunan, tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan baharu negara. Saya menggesa Kerajaan Negeri Sabah lebih proaktif menyelaras strategi negeri dengan RMK13 agar peluang yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79