UMNO Perlu Pulihkan Sokongan Orang Melayu – Mohamed Khaled
PASIR GUDANG, 3 Ogos – UMNO perlu mencari jalan untuk memulih dan mengembalikan sokongan orang Melayu agar parti keramat ini akan kembali dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perpaduan dan keakraban yang terbina di antara pemimpin serta akar umbi dilihat mampu untuk memulihkan imej parti kepada rakyat.
“Melalui pertemuan ini, ia merupakan satu peluang untuk kita semua di pelbagai peringkat saling mengenali dan membina keakraban, memantapkan persaudaraan serta sifat setia kawan antara kita.
“Dengan perpaduan dan keakraban itu, maka tentulah ia akan memulihkan imej dan juga kredibiliti parti kita. Kita sebuah parti besar yang mengangkat kerjasama dan perpaduan sebagai asas yang memberi kekuatan.
“Atas sebab itulah pada hari ini kita dapat lihat ramai pemimpin kita hadir. Inilah sebenarnya UMNO, kita bangunkan keakraban. Pada hari ini kita jemput Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk membugar dan memulihkan semangat perjuangan dalam UMNO supaya kita semua dapat lebih mengenali serta memahami parti UMNO yang kita dukung pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, cabaran yang dihadapi oleh UMNO pada ketika ini ialah persaingan dengan parti-parti Melayu lain yang cuba menggantikan parti keramat ini.
“Melalui persidangan ini, kita dapat mencari pencerahan dan jalan ke hadapan untuk segala permasalahan yang dihadapi UMNO, bangsa Melayu serta negara Malaysia. Sudah tentu ia berkisar tentang kerelevanan dan kelangsungan parti UMNO dalam landskap politik Malaysia pada hari ini.
“Kita sedia maklum pada hari ini dalam pelbagai cabaran yang parti kita hadapi antaranya ialah persaingan dengan parti-parti Melayu lain yang cuba mengambil alih peranan UMNO sebagai peneraju politik Melayu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa cabaran tersebut perlu ditangani dengan baik melalui segi budaya dan sikap yang diamalkan oleh para pendukung parti.
“Hari ini orang Melayu mempunyai banyak pilihan. Keyakinan dan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO kita dapat lihat tidak sama seperti dahulu. Semakin lama kalau kita tidak bertindak dan mengubati, ianya semakin pudar.
“Orang Melayu semakin jauh dan dukungan kepada kita semakin mengecil. Kita perlu menangani soal ini dan saya percaya antara pendekatan yang wajar untuk kita fikirkan adalah dari segi budaya serta sikap yang kita bawa untuk parti kita.
“Dalam soal untuk kita mengukuh, menyumbang kepada kekuatan dan juga kepercayaan parti. Tidak ada perikatan yang akan kekal selama-lamanya. Yang penting kita kena pastikan UMNO kuat supaya lepas pilihan raya kita boleh tentukan macam mana bentuk kerjasama yang kita nak buat dengan parti-parti lain,” katanya lagi.
Untuk rekod, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman dan para pemimpin empat peringkat. – UMNO Online